http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Surat/20090623225046/Article/
SURAT ini ditulis atas kebimbangan terhadap berleluasanya aktiviti
pengiklanan mengenai kebaikan susu formula bayi berasaskan kacang soya
di media massa.
Kami sebagai pakar perubatan kanak-kanak, ingin menerangkan
dengan terperinci mengenai kesan atau keadaan di mana penggunaan susu
soya boleh disyorkan berdasarkan kepada maklumat saintifik terkini.
Susu ibu adalah pilihan terbaik untuk bayi yang sedang
membesar. Sekiranya, penyusuan susu ibu tidak dapat diteruskan atas
sebab tertentu, susu formula bayi berasaskan protein lembu adalah
pilihan alternatif yang disyorkan. Protein soya adalah berasal dari
sumber tumbuhan.
Secara amnya, kualiti protein dari sumber tumbuhan
adalah lebih rendah berbanding kualiti protein dari sumber susu manusia
atau dari sumber susu lembu.
Ia disebabkan kekurangan sesetengah jenis asid amino yang amat diperlukan untuk pertumbuhan fizikal yang sihat.
Tambahan pula, susu soya mengandungi kandungan aluminium dan
"phyto-oestrogens" berlebihan yang kesan jangka panjangnya terhadap
tubuh badan manusia masih belum diketahui dengan terperinci buat masa
ini.
Banyak badan profesional seperti Akademi Pediatrik Amerika, Persatuan
Gastroenterologi dan Nutrisi Pediatrik Eropah serta Persatuan Perubatan
Australia tidak mengesyorkan penggunaan susu berasaskan protein soya
kepada bayi pramatang dan bayi berusia kurang dari enam bulan.
Penggunaan susu soya hanyalah terhad kepada kanak-kanak yang
menghidapi penyakit 'Galactosaemia' iaitu sejenis penyakit metabolik
yang jarang berlaku dan kanak-kanak yang menghadapi masalah 'Isolated
Lactose-intolerance' iaitu ketidakbolehan menghadamkan gula laktosa
yang terkandung di dalam susu lembu dan manusia.
Kami juga turut melihat trend penggunaan susu soya sebagai
susu gantian ketika berlaku cirit-birit. Susu soya dipercayai boleh
memendekkan tempoh jangka masa cirit-birit. Ingin ditegaskan bahawa
setakat ini, tiada bukti saintifik menyokong kenyataan di atas.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyarankan kepentingan strategi
memastikan pengambilan cecair dan elektrolit yang mencukupi ketika
cirit-birit.
Penggunaan
susu berasaskan protein soya hanya terhad untuk jangka masa pendek
kepada kanak-kanak yang disahkan mempunyai masalah menghadamkan gula
laktosa disebabkan cirit-birit (secondary lactose intolerance) dan
tidak perlu disambung penggunaannya untuk tempoh jangka masa panjang.
Susu berasaskan protein soya juga sering disyorkan kepada
bayi yang mempunyai masalah radang perut atau kolik oleh ramai pengamal
perubatan. Realitinya, tiada bukti saintifik menyokong amalan
berkenaan.
Tambahan pula, masalah kolik di kalangan bayi tidak
memerlukan sebarang rawatan spesifik kerana masalah ini tidak berbahaya
dan akan pulih dengan sendirinya.
Penggunaannya di dalam rawatan asma adalah satu lagi keadaan
di mana susu berasaskan protein soya digunakan tanpa indikasi tepat.
Sekali lagi, tiada bukti saintifik yang menyokong amalan ini.
Peranan susu berasaskan protein soya di dalam rawatan masalah
alahan kepada protein lembu tidak dapat dinafikan, tetapi ingin
ditegaskan di sini bahawa masalah alahan protein lembu jarang berlaku
dan sekiranya berlaku, penggunaan susu berasaskan protein soya hanya
terhad untuk bayi berusia 6 bulan ke atas yang disahkan oleh pakar
perubatan bahawa bayi mempunyai masalah ini.
Kami berharap penerangan yang diberikan dapat meningkatkan
pemahaman masyarakat mengenai peranan susu berasaskan protein soya. Ia
adalah satu sumber nutrisi alternatif, tetapi penggunaannya terhad
kepada keadaan tertentu saja.
Presiden Kolej Pediatrik
Akademi Perubatan
Malaysia.
|